Periksa penghuni tak jaga gigi
PETALING JAYA: Kementerian Kesihatan akan tampil dengan pasukan kaji selidik khas yang akan membuat pemeriksaan ke kediaman terpilih seluruh negara bermula April ini.
Menterinya, Datuk Seri Liow Tiong Lai, berkata kajian yang akan diketuai pegawai pergigian itu diadakan susulan daripada statistik yang mencatatkan masih ramai rakyat negara ini yang enggan mendapatkan rawatan pergigian. Beliau berkata, golongan dewasa dicatatkan masih ramai tidak menitikberatkan penjagaan gigi memandangkan statistiknya menunjukkan tiada perubahan dalam 10 tahun, malah hanya enam peratus yang mendapatkan rawatan. Katanya, 90.3 peratus pesakit gigi dewasa dicatatkan pada 2000 berbanding 94.6 peratus pada 1990. Berikutan itu, katanya, kementerian akan tampil dengan pasukan khas untuk menangani masalah ini. “Pasukan berkenaan akan mengunjungi rumah terpilih untuk menjalankan pemeriksaan gigi sehingga Julai 2010. Kami sasarkan lebih 14,000 orang dewasa seluruh negara berusia 15 tahun ke atas untuk diperiksa menerusi pasukan kajian ini. “Mereka terpilih seharusnya berasa bertuah kerana mendapat pemeriksaan gigi percuma di rumah sendiri tanpa perlu ke klinik,” katanya selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Kempen Kesihatan Oral 1Malaysia, di Tropicana Mall di sini, semalam. Hadir sama, Naib Presiden dan Pengurus Besar GSK Asia Selatan, Akhil Chandra; Presiden PPM, Dr Lee Soon Boon dan bakal Presiden PPM, Dr How Kim Chuan. Kempen anjuran GlaxoSmithKline Consumer Healthcare Sdn Bhd (GSK), Persatuan Pergigian Malaysia (PPM) dan Kementerian Kesihatan diadakan selari usaha meningkatkan kesedaran awam mengenai kesihatan oral atau gigi yang baik.
from Metro
Post a Comment